Nuffnang

Tuesday, February 24, 2009

Isu PPSMI-Science & Math in English

Sudah lama aku teringin untuk komen mengenai isu PPSMI ini. Tetapi sejak akhir-akhir ini isu ini makin dipersuarakan oleh orang ramai. Jadi terasa hendak meluahkan pendapat aku dalam isu ni. Aku personally tidak menyokong langkah pengajaran Sains & Math dalam English sejak dari awal peringkat cadangan oleh Dr.M dan perlaksanaannya.

Tidak dinafikan ramai rakyat Malaysia yang menyokong langkah PPSMI dan ramai juga yang menentang samada dari pihak parti pemerintah atau pembangkang. Tapi apa yang jelas dari pandangan aku, pihak yang menyokong PPSMI ini datangnya dari keluarga kelas pertengahan dan atasan yang menetap di bandar-bandar di mana penguasaan bahasa Inggeris bukanlah suatu yang asing bagi mereka.

Tetapi bagaimana pandangan dari rakyat Malaysia yang tinggal di kampung-kampung dan pendalaman yang majoritinya ialah orang Melayu? Dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang rendah dan apabila dilaksanakan PPSMI ini, menjadi satu lagi beban untuk mereka. Dalam satu masa perlu memahami bahasa Inggeris dan memahami Matematik & Sains sekaligus. Dengan beban inilah boleh mengakibatkan berkurangnya minat pelajar-pelajar ini dalam matapelajaran Sains & Matematik. Akhirnya para pelajar yang kurang mahir & minat bahasa Inggeris ini akan terus dan terus tercicir dalam ilmu Sains & Matematik. Dan akan terjadinya jurang yang besar antara pelajar di bandar dan pelajar di pendalaman. Persoalan disini ialah siapa (kaum apa) yang tinggal di bandar dan siapa (kaum apa) yang tinggal di pendalaman?

Semasa Dr.M mula mencadangkan untuk melaksanakan PPSMI, para ahli politik dari kem yang sama dengan membabi-buta menyokong dan bersetuju untuk melaksanakan PPSMI dalam masa yang singkat tanpa ada penyelidikan yang menyeluruh tentang kesan perlaksanaan PPSMI terhadap semua rakyat Malaysia. Mungkin di mata & otak para (corrupted) politikus ini hanya nampak peluang projek dan duit yang akan masuk ke poket mereka dengan pelbagai program dan projek yang terpaksa dicipta dan dibuat untuk melaksanakan PPSMI.

Apa objektif utama PPSMI? Sepemahaman aku, objektif utama ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan rakyat Malaysia. Aku sokong 100% objektif ini! Aku sokong saranan kerajaan terhadap rakyat Malaysia untuk menguasai bahasa Inggeris. Lagi bertambah baik kalau dapat menguasai lebih banyak bahasa tidak hanya bahasa Inggeris terutamanya Mandarin. Tetapi kenapa mesti mencampur adukkan Sains & Math dalam objektif ini? Jika sistem pengajaran bahasa Inggeris yang diamalkan sejak berpuluh tahun dulu tidak dapat meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris, sewajibnya sistem pengajaran bahasa Inggeris itu yang mesti di rombak dah diperbetulkan!

Adakah apabila Sains & Math diajar dalam bahasa Inggeris dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris? Adakah perkataan dan struktur ayat yang digunakan dalam Sains & Math sama dengan perkataan dan struktur ayat yang digunakan dalam pertuturan biasa antara manusia?

Contoh yang senang dilihat, perhatikan negara-negara maju yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Inggeris seperti Jepun, Korea & Eropah Barat, adakah rakyat meraka belajar Sains & Math didalam bahasa Inggeris? Tidak sama sekali! Semuanya menggunakan bahasa ibunda masing-masing, memahirkan rakyat mereka dalam ilmu Sains & Matematik, ilmu teras dalam pembangunan sesebuah negara. Rakyatnya lebih selesa dan lebih mudah menguasai ilmu Sains & Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang penting disini penguasaan ilmu Sains & Matematik itu lebih utama untuk memajukan sebuah negara. Maju dan mundurnya sesebuah negara bukan terletak pada penguasaan bahasa Inggerisnya.

Aku berharap kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan gesaan rakyat Malaysia untuk memansuhkan PPSMI. Agar semua pelajar di Malaysia dapat menguasai & mendalami ilmu Sains & Matematik dengan mudah dan selesa menggunakan bahasa ibunda. Disamping itu perbaikkan sistem pengajaran & pembelajaran bahasa Inggeris di Malaysia supaya dapat mencapai objektif kerajaan untuk melihat rakyat Malaysia menguasai bahasa antarabangsa ini dengan baiknya.

p/s: itu semua cuma pendapat aku sahaja dan yang termampu cuma beri sokongan untuk gesaan hapuskan PPSMI. Kalaulah aku ada special power, dah lama aku pi ketuk Pak Lah atau Najib atau Hishamuddin tu untuk stop PPSMI..haha..

No comments: